Dua tiga hari menjelang pilihanraya umum 8 Mac, Perdana Menteri dan timbalannya mengakui bahawa Terengganu pada awalnya berdepan dengan masalah besar akibat bantahan akar umbi isu calon muka baru.
Melalui wawancara secara langsung di TV, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Mohd Najib Razak bagaimanapun berkata isu itu "sudah selesai" pada minggu kedua kempen.
Akibat pengguguran 12 muka lama termasuk bagi kerusi parlimen, bantahan terbuka beberapa ratus pengikut ketua-ketua bahagian Marang, Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu itu disifatkan "tidak pernah berlaku" dalam sejarah Umno negeri.
Minggu kedua kempen menyaksikan Umno kembali memerintah negeri itu dengan kemenangan selesa - mengekalkan 24 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri dan tujuh daripada lapan kerusi parlimen.
Di Semenanjung, kemerosotan undi BN di Terengganu kali ini paling sedikit, 1.2 peratus sahaja, berbanding pilihanraya umum 2004.
Berbeza dengan negeri-negeri di pantai barat yang menyaksikan kemerosotan ketara - antara 12 hingga lebih 20 peratus - sehingga menyebabkan empat negeri jatuh ke tangan pembangkang.
Namun, kemenangan besar BN di negeri pantai timur tidak menguntungkan pengerusi BN, yang juga ketua badan perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Idris Jusoh.
Krisis pencalonan rupa-rupanya terus menghantui Idris apabila majoriti ketua bahagian tetap membantah beliau dilantik kembali sebagai menteri besar.
Macam Shahidan
Krisis Idris dengan ketua-ketua bahagian kini muncul dalam bentuk ketegangan antara BN dengan istana - Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) tidak memberi perkenan kepada Idris, sebaliknya memilih Datuk Ahmad Said.
Seperti nasib Datuk Seri Shahidan Kassim di Perlis yang gagal dilantik semula sebagai menteri besar, surat sokongan Perdana Menteri kepada Idris kini tidak memadai - ada kuasa-kuasa lain yang boleh mencabarnya dan mengatasinya.
Sama ada kuasa itu di peringkat istana atau bahagian Umno, yang jelas ketua perhubungan Umno negeri kini tidak boleh mengharapkan sokongan presiden Umno semata-mata untuk dilantik mengetuai kerajaan negeri.
Ahmad, yang mengepalai bahagian Kemaman, termasuk tujuh ketua bahagian yang bertemu Idris di kediaman rasminya bagi menyatakan rasa tidak berpuas hati mereka berhubung calon-calon BN menjelang 24 Februari, seorang ketua bahagian memberitahu Malaysiakini pada hari penamaan calon.
Pertemuan kedua mereka dengan Idris itu selepas beliau mengumumkan senarai calon beberapa hari sebelum hari penamaan calon.
Mereka mempertikaikan beberapa calon lama digugurkan tanpa sebarang perbincangan.
(Idris, beberapa hari kemudian, menafikan tidak pernah berunding dengan mereka dalam satu sidang media selepas bertemu Perdana Menteri. Beliau juga mendakwa senarai calon itu keputusan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.)
Tidak tunai janji
Dalam pertemuan pertama, Malaysiakini difahamkan, Idris telah berjanji kepada semua bahagian bahawa nama mereka akan tersenarai dan mereka dikehendaki hadir di majlis pengumuman calon 20 Februari.
Bagaimanapun kejutan besar singgah di muka ketua-ketua bahagian yang hadir apabila nama mereka digugurkan - Datuk Abdul Rahman Bakar (Marang), Datuk Tengku Putera Tengku Awang (Hulu Terengganu) dan Datuk Dr Rosli Mat Hassan (Dungun) tidak tersenarai untuk mempertahankan kerusi masing-masing.
Selain mengetuai bahagian, Abdul Rahman, bekas timbalan menteri, dan Tengku Putera adalah ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno yang menang dalam pemilihan pada 2004.
Turut tidak disenarai semula untuk bertanding, dua exco negeri: Datuk Dr Abdul Latiff Awang dan Wan Mohd Wan Hassan.
Paling menyakitkan apabila calon kerusi parlimen Marang digantikan dengan muka baru - tidak lain dan tidak bukan setiausaha Idris sendiri, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir - untuk mencabar presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Akhirnya kerusi parlimen itu, sememangnya kubu kuat PAS, jatuh kembali ke tangan Abdul Hadi - antaranya akibat undi protes dan sabotaj penyokong Umno.
Kerusi negeri Bukit Payong, yang disandang Dr Abdul Latiff tetapi digugurkan oleh Idris, jatuh ke tangan PAS.
Di Dungun, Dr Rosli digantikan dengan Matulidi Jusoh, dikatakan penyokong Idris.
Ahli parlimen lain yang digugurkan termasuklah timbalan ketua bahagian Kuala Nerus, Che Azmi A Rahman dan ketua penerangan bahagian Setiu, Mohd Yusop Majid.
Maka tidaklah menghairankan apabila beberapa ratus penyokong mereka, antaranya hadir dengan beberapa buah bas, mengadakan demonstrasi selama beberapa hari, termasuk di sebelah malam, di depan kediaman rasmi Idris.
Mengulas bantahan ini, Idris menyifatkan ratusan penyokong Umno ini sebagai "isteri sedang marah".
Tuntut talak tiga
"Orang tengah marah... macam isteri kita juga, kalau tengah marah, kita lawan tak bolehlah... kita dengar dahulu, kita cool down dulu. Kalau kita lawan sama, habislah periuk mangkuk berterabur," katanya.
Sekarang isteri bukan sahaja marah dan periuk mangkuk bertaburan, tetapi kelihatannya menuntut talak tiga!
Umno menang besar, jika dibandingkan negeri-negeri lain yang gagal menahan amukan badai "tsunami politik" 8 Mac, dan dugaan ramai tiada lagi isu di Terengganu.
Idris tentunya boleh terus berkuasa dan tidur dengan lena.
selepas pilihanraya :
Bagaimanapun jelas sekali, walaupun sebahagian besar pemimpin bahagian tidak lagi menjadi wakil rakyat, Umno menunjukkan kuasa sebenar mereka adalah berasaskan kekuatan politik di peringkat itu - akar umbi.
Tengku Putera, timbalan ketua badan perhubungan Umno negeri, semalam mendakwa tujuh ketua bahagian sebulat suara menyokong Ahmad.
Tidak lama selepas itu, Rosol bagaimanapun menafikan bahawa Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri (ketua Kuala Nerus) dan Datuk Mohd Jidin Shafee (Setiu) menyokong Ahmad.
Namun kedua-duanya pula, seperti dilaporkan oleh akhbar New Straits Times hari ini, enggan mengulas isu tersebut - dan tidak menunjukkan sokongan atau hentaman kepada Ahmad.
Datuk Wan Mohd Farid Wan Salleh, ketua bahagian Kuala Terengganu dan bekas setiausaha Abdullah, tentunya bersama presiden.
Berbekalkan watikah pelantikan semalam, Ahmad bersedia ke Wisma Darul Iman esok - walaupun 22 wakil rakyat BN, termasuk seorang MCA, tidak bersamanya.
Bagaimanakah Umno negeri yang kini terpecah dua, antara kumpulan pro-Idris dengan pro-Ahmad, menyelesaikan krisis ini? Apakah istana akan mencalonkan satu nama baru? Atau, bertegas dengan pelantikan Ahmad?
Tiada yang jelas saat ini kecuali satu: Istana telah menolak Idris, maka carilah calon lain - sekali pun Perdana Menteri tidak bersetuju dengan Ahmad.
Kronologi krisis MB Terengganu |
Mar 24, 08 3:05pm |
Bermula dengan penangguhan majlis angkat sumpah dua hari selepas pilihanraya umum 8 Mac, krisis pelantikan menteri besar Terengganu terus berlarutan hingga saat ini. Tarikh penting krisis menteri besar Terengganu 10 Mac - Majlis angkat sumpah menteri besar Datuk Seri Idris Jusoh di Istana Maziah, Kuala Terengganu ditangguhkan ke suatu tarikh yang tidak ditetapkan. 11 Mac - Idris, wakil Jertih dan juga pengerusi BN negeri, kelihatan sugul dan tegang apabila media bertanya persoalan beliau tidak mendapat perkenan istana sebagai menteri besar bagi penggal kedua. 12 Mac - Nama Datuk Ahmad Said, wakil rakyat Ajil, antara tiga nama yang disebut-sebut menggantikan Idris. Setiausaha perhubungan Umno negeri Datuk Rosol Wahid, wakil Ajil, dan Datuk Mohamad Awang Tera, wakil Chukai, turut dinamakan. Mohamad menafikannya kepada Malaysiakini dan menyebut beliau dan wakil-wakil BN akan berdiri di belakang Idris. 14 Mac - Idris mengesahkan tidak hadir dalam pertemuan semua 24 wakil BN dengan Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) yang dijadual diadakan di sebuah hotel di Putrajaya. 15 Mac - Pertemuan wakil-wakil BN dengan MPPR dibatalkan dua jam sebelum dijadual berlangsung 11 pagi. Seramai 20 wakil BN bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung pelantikan menteri besar Terengganu, selain menyatakan sokongan mereka kepada Idris. Istana Terengganu dilaporkan menafikan pembabitannya dengan isu pelantikan jawatan itu. 18 Mac - Idris menyeru penduduk Terengganu bertenang sewaktu negeri itu ketiadaan menteri besar dan berkata beliau masih belum mendapat apa-apa maklumat mengenai upacara mengangkat sumpah jawatan tersebut dari pihak istana. 19 Mac - Peguam Negara mengeluarkan kenyataan bahawa Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak terlibat dalam pemilihan calon menteri besar. Menurut perlembagaan, kata beliau, Baginda dilarang menjalankan fungsi sebagai Sultan Terengganu kecuali fungsi sebagai ketua agama Islam. Tan Sri Abdul Gani Patail menambah, dengan itu Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai calon baginda sendiri bagi jawatan tersebut dan menyedari hakikat bahawa urusan pelantikan sepenuhnya pada MPPR. 20 Mac - Polis menahan empat lelaki berusia 23 hingga 27 tahun kerana dipercayai membawa 20 helai kain rentang kira-kira 1.45 pagi mengenai pelantikan menteri besar di Jalan Sultan Mahmud, sebatang jalan utama di Kuala Terengganu. 21 Mac - Empat lelaki tersebut, yang disiasat antaranya menurut Akta Hasutan dan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak, dibebaskan. Polis memberi amaran kepada penyebar SMS, yang dilaporkan semakin meluas sejak beberapa hari lepas, tentang isu pelantikan menteri besar. 22 Mac - Pejabat Sultan Terengganu mengumumkan pelantikan Ahmad sebagai menteri besar dan majlis angkat sumpah dijadual pagi esoknya. Seramai 22 wakil BN, yang diketuai Rosol, mengisytiharkan untuk memulau majlis tersebut. Buletin Utama TV3 melaporkan, seorang ahli politik Terengganu (yang tidak dinamakan) kini sedang disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung beberapa projek di Kijal. Setiausaha agung Umno Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor memberi amaran kepada Ahmad agar tidak menerima pelantikan tersebut atau sedia menerima tindakan disiplin. 23 Mac - Majlis angkat sumpah ditangguhkan dan Ahmad hanya menerima watikah pelantikan daripada MPPR. Rosol, bagi pihak kumpulan wakil rakyat BN yang memboikot majlis tersebut, menyerahkan memorandum sokongan untuk Idris dipilih sebagai menteri besar kepada MPPR. Rosol juga menyatakan Umno negeri telah melucutkan keahlian Ahmad. Idris bertolak ke Kuala Lumpur untuk bertemu Perdana Menteri selepas sidang akhbar di kediaman rasminya. Perdana Menteri menyifatkan pelantikan Ahmad tidak mengikut Perlembagaan kerana Ahmad tidak mendapat sokongan majoriti wakil BN. Malam ini di Kuala Lumpur, semua 23 wakil BN terus mengulangi ugutan untuk melepaskan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri jika Ahmad dilantik MB. Rosol, di sidang media itu, menafikan kenyataan timbalan ketua badan perhubungan Umno negeri Datuk Tengku Putera Tengku Awang bahawa semua ketua bahagian menolak Idris. Hanya bahagian-bahagian Hulu Terengganu (diketuai Tengku Putera), Marang, Dungun dan Kemaman (diketuai Ahmad) menolak Idris (ketua bahagian Besut); manakala Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Setiu menyokongnya. Peguam Negara menasihatkan Pemangku Raja Terengganu dan MPPR agar melantik seseorang yang mendapat dukungan majoriti wakil rakyat seperti termaktub peruntukan Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu. Tan Sri Abdul Gani Patail berkata beliau memohon menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, yang juga Sultan Terengganu, untuk menjelaskan fakta-fakta dalam isu tersebut. 24 Mac - Ahmad disambut meriah di kawasannya Kemaman, diarak dengan konvoi kenderaan sejauh 10 kilometer dari sempadan Pahang ke rumahnya di Teluk Kalong petang ini. Ahmad bertegas akan ke pejabat menteri besar untuk memulakan tugas di Wisma Darul Iman esok. Sebelah tengah hari, Ahmad menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan di Istana Terengganu, Kuala Lumpur. PAS menyatakan sokongan kepada pelantikan Ahmad seperti telah diperkenan oleh MPPR. PKR membuat aduan polis di Kuala Terengganu, mendakwa perdana menteri, timbalan perdana menteri serta 23 wakil rakyat BN "bersikap biadap dan menderhaka" kepada Sultan Terengganu. |